Belum KOnvo, Adabi dah bergaji RM20k

GAJI LEBIH RM20,000 SEBULAN, WALAUPUN KONVO SELASA INI Di lautan 6,832 graduan Universiti Utara Malaysia yang diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-38, dalam sembilan sesi mulai hari ini hingga Khamis, terselit satu kisah luar biasa, kisah seorang anak muda bernama Muhammad Rahman Adabi. Ketika rakan sebaya sebahagiannya sedang mencari majikan sesuai, Muhammad Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Adabi sudah pun memecah rekod peribadi dengan melangkah ke dunia kerjaya sebagai usahawan komputer dengan pendapatan melebihi RM20,000 sebulan. Bermula sebagai pelajar Sarjana Muda Keusahawanan UUM pada tahun 2021, Adabi yang kini baru berusia 23 tahun membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar soal kelulusan, tetapi keberanian untuk bermimpi, kecekalan untuk berusaha, dan kesediaan mencipta peluang. Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dalam ucapan aluan sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-38 di Dewan Mu’adzam Shah pagi ini, menyifatkan kejayaan Adabi luar biasa dan boleh menjadi inspirasi kepada pelajar UUM lain. Menurutnya, seramai 93 peratus graduan yang akan menaiki pentas di majlis konvokesyen kali ini telah mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) sebelum mengambil jubah, pada 5 November 2025. Daripada jumlah tersebut, 918 graduan atau 15 peratus memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan. Bagi graduan ijazah sarjana muda sahaja, seramai 519 orang atau 10 peratus berpendapatan lebih RM4,000 sebulan. “Menariknya, seramai 13 graduan sarjana muda yang baru menaiki pentas dalam majlis konvokesyen kali ini, sudah berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan. “Seorang daripadanya, Saudara Muhammad Rahman Adabi sudah menjadi usahawan dengan pendapatan melebihi RM20,000 sebulan,” katanya. Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM mengisytiharkan sesi pertama dan menganugerahkan ijazah kerhormat dan pelbagai anugerah kepada graduan. Turut hadir dalam majlis itu Raja Muda Kedah, DYTM Tengku Sarafudin Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; Tunku Mahkota Kedah, DYAM Tunku Shazuddin Arif Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pro-Canselor UUM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Arif. Adabi yang berada di China empat hari lalu atas urusan perniagaan ketika dihubungi Jabatan Komunikasi Korporat UUM berkata, beliau kini pengarah kepada syarikat PT AAC Legasi Arthaya yang mempunyai 20 orang kakitangan. “Seawal sekolah rendah, saya sudah dibawa ayah ke kedai komputer keluarga. Dari situlah minat berniaga disemai. Menjejak alam sekolah menengah, saya sudah mula terlibat secara aktif dalam perniagaan dengan membantu operasi syarikat yang menjadi pengedar sah produk IT ke seluruh Sumatera,” katanya. Menurutnya, tahun 2020 menjadi detik getir saat dunia diuji COVID-19, kerana operasi syarikatnya sukar untuk mendapatkan pasaran. Adabi mula mencipta peluang. Daripada krisis, dia bangkit dengan strategi berani: ubah operasi perniagaan kepada jualan dalam talian sepenuhnya. Hasilnya? Perniagaannya berkembang daripada dua cawangan kepada empat, siap tambah dua gudang baharu. Tak cukup dengan itu, Adabi juga menubuhkan syarikat sendiri sebagai pengedar kabel rangkaian untuk sambungan internet di Indonesia dan apabila tanya mengapa memilih UUM walaupun sudah mempunyai perniagaan sendiri, beliau menjawab: "Tujuan saya ke UUM bukan sekadar belajar teori. Saya mahu tajamkan strategi dan fahami asas bisnes secara mendalam," katanya. Beliau berkata, antara yang paling memberi inspirasi adalah pensyarahnya di UUM, Prof Madya Dr Abdul Rahman Jaaffar, yang pernah menjadi usahawan berjaya sebelum memilih untuk mendidik generasi baharu. "Saya juga ingin seperti beliau apabila muda berjaya dalam perniagaan dan apabila sedikit berusia akan berkongsi ilmu di menara gading," katanya. Adabi yang berasal dari Indonesia belum berkahwin, tapi bila ditanya sudah ada cewek (kekasih), jawabnya: "Ya" UUM SINTOK, 9 NOVEMBER 2025: Wartawan: Kori Ariff Gambar/grafik: JKK #konvouum38

Comments

Popular posts from this blog

Beli Emas, Simpan di Ar-Rahnu Bank Rakyat

Elok melabur dalam bentuk emas

Gold to hit $1,500 in 2010 - CommodityOnline